Sedikit sebanyak perkongsian tentang tanggungjawab, usaha dan inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turki kepada rakyat Malaysia yang dalam kecemasan di Turki.

Sejak suku kedua 2017, di atas faktor domestik Turki yang semakin selamat setelah gagalnya cubaan kudeta pada 15 Julai 2016 telah menyaksikan kembalinya peningkatan jumlah pelancong dari serata dunia ke Turki, termasuk dari Malaysia.

Pada tahun 2018 telah merekodkan lebih 95,000 orang pelancong Malaysia datang ke Turki dan trend kelonjakan tersebut kekal meningkat pada tahun 2019 yang semakin hampir ke penghujungnya ini.

Selaras dengan peningkatan itu juga, jumlah isu/kes konsular yang memerlukan perkhidmatan Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turki juga bertambah, antaranya kes-kes seperti kehilangan passport, beg/wang ringgit, mangsa jenayah, sakit dan juga meninggal dunia yang melibatkan rakyat Malaysia.

Dalam menjalankan tugasan hakiki dalam menjaga hubungan dua hala Malaysia-Turki, Kedutaan juga menghulurkan perkhidmatan konsular di atas dan terdapat juga isu-isu dari semasa ke semasa yang melibatkan rakyat Malaysia yang perlu diselaraskan oleh Kedutaan, seperti :

  • Isu ‘overstay’;
  • Isu rakyat Malaysia terlibat dalam melakukan penipuan/jenayah;
  • Isu rakyat Malaysia terlibat dengan pemerdagangan orang;
  • Isu rakyat Malaysia menjadi keldai dadah secara dipaksa atau rela;
  • Isu rakyat Malaysia menjalankan perkhidmatan berkaitan pelancongan secara tidak sah;
  • Isu penuntut yang menjadi mangsa di universiti/sekolah tahfiz yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Turki yang seterusnya dinafikan pemberian visa belajar; dan
  • Isu rakyat Malaysia yang menggunakan Turki untuk masuk ke Syria, Iraq ddan lain-lain untuk menyertai pertubuhan ISIL/ISIS/Daesh.

Inisiatif (Maklumat Konsular, Sebelum Melancong)

Kementerian Luar Negeri telah giat menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Luar Negara agar mendaftar/memaklumkan kepada Kedutaan Besar di negara yang bakal dilawat/terhampir. Dengan usaha berterusan ini, kesedaran untuk melakukan seperti yang disarankan ini semakin bertambah.

Bagi Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turki, kami sentiasa berusaha untuk memberikan respon dan maklum balas kepada emel/surat/medium lain dengan memberikan nasihat berikut:

  • Keperluan melengkapkan diri dengan insurans yang sesuai dengan keperluan/aktiviti;
  • Membawa ubat-ubat/ peralatan perubatan dan kecemasan;
  • Maklumat berkenaan cuaca/suhu dan keperluan pakaian yang bersesuaian;
  • Nasihat berkenaan keselamatan tempat/negeri yang ingin dikunjungi di Turki; dan
  • Keperluan berhati-hati dalam memilih pakej pelancongan di Turki (ada yang sangat menarik dan value-for-money seperti 9 hari 8 malam melawat seluruh Turki tetapi pada hakikatnya sangat memenatkan dan boleh mengakibatkan mudarat, sakit malah meninggal dunia.)

Baca: Checklist Sebelum Travel

Inisiatif/Bantuan Konsular yang dapat dan tidak dapat dilakukan oleh Kedutaan Apabila Berlaku Kecemasan

Sekiranya terdapat berita/aduan tentang kecemasan dan keperluan bantuan, Kedutaan akan menilai situasi dan akan memberikan respon dan perkhidmatan berdasarkan keperluan sesuatu perkara tersebut. Dalam aspek kecemasan ketika melancong, Kedutaan terlebih dahulu akan ‘establish contact’ dengan tour guide/ejen untuk memastikan mereka ini adalah individu/entiti yang perlu memainkan peranan sebagai pembantu utama dalam sesuatu kes.

Kedutaan akan membantu memberikan maklumat dan menyelaras tour guide/ejen, sekiranya ia tiada contact/networking di Turki dan juga memberikan nasihat step by step bagi perkara-perkara yang perlu dilakukan.

Kedutaan juga akan meminta ejen menghubungi waris dan pada masa yang sama melaporkan kepada Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri untuk menghubungi waris untuk memaklumkan akan situasi kecemasan yang dialami individu/berkumpulan di Turki.

Dalam sesuatu situasi juga di mana kecemasan berlaku kepada mereka yang tidak melancong dalam kumpulan (atau pun telah ditinggalkan oleh ejen apabila kecemasan berlaku), Kedutaan akan berkomunikasi dengan waris yang bersama-sama melancong atau pun memaklumkan waris di Malaysia.

Bergantung kepada situasi, Kedutaan akan memberikan perkhidmatan bermula dengan mendapatkan maklumat, memudahcara, berikhtiar membantu sekiranya terdapat kesukaran dihadapi oleh ejen atau waris dalam menguruskan kecemasan tersebut.

Nasihat dan saranan Kedutaan adalah berdasarkan pengalaman dan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sesuatu entiti di Turki. Dalam masa yang sama, Kedutaan juga perlu mengumpul maklumat yang terperinci berkenaan ejen/syarikat pelancongan tempatan dan Turki, insurans yang diambil dan butiran lain untuk memastikan individu/waris terbela oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Bagi sesetengah kes, untuk merayu, memohon atau menyelenggara bagi mendapatkan keputusan yang diinginkan (terutamanya permohonan pengurangan bayaran, atau urusan imigresen) adalah perlu di buat di Kementerian/Agensi/Badan Induk di Ankara, pusat pentadbiran Republik Turki, dengan bantuan Kementerian Luar Negeri Republik Turki.

Perkara Kecemasan Yang Diuruskan

Sehubungan itu, sekiranya perkara-perkara kecemasan dapat diuruskan dengan baik oleh waris/ejen di tempat kejadian berlaku, Kedutaan dapat terus memberikan nasihat dan memantau situasi dari semasa ke semasa dari Ankara. Bagi kes seperti ini, Kedutaan akan datang ke tempat kejadian selepas keadaan terkawal untuk memberikan bantuan seterusnya.

Sekiranya keadaan sebaliknya dan sangat kritikal (contohnya individu ditinggal berseorangan tanpa ejen/waris), Kedutaan akan mencuba untuk segera datang ke tempat kejadian untuk membantu yang terbaik dalam situasi tersebut.

Dalam sesetengah situasi, terdapat permintaan agar Kedutaan dapat menyelesaikan bayaran/bil bagi kos perubatan/penginapan dalam sesuatu kes kecemasan atau menghubungi mana-mana insitusi kerajaan untuk menjelaskan bayaran/bil tersebut. Permintaan ini tidak dapat dipenuhi memandangkan ia adalah merupakan tanggungjawab individu/waris/keluarga.

Terdapat juga situasi Kedutaan diminta untuk mengeluarkan ‘Guarantee Letter’ bagi membolehkan pesakit dibenarkan discharge dari wad dan pulang ke Malaysia. Perkara ini juga tidak dapat dilakukan sekarang, kerana terdapat banyak kes terdahulu di mana pihak hospital di Turki membenarkan pesakit discharge dengan jaminan Kedutaan tetapi malangnya individu/waris tidak menyelesaikan baki bil/kos perubatan mereka apabila dibenarkan pulang ke Malaysia. (Sedikit sebanyak perkara ini telah menjejaskan nama baik Malaysia dan menjadi punca pihak Hospital di Turki lebih tegas kepada pesakit kita).

Kedutaan juga sangat serius memberikan nasihat kepada individu/waris dalam sesuatu kes kecemasan agar (i) mengikut nasihat doktor yang merawat; (ii) mengingatkan akan kepentingan mendapatkan pengesahan ‘fit to fly’ dan ‘free from viruses and infections’ dan (iii) kebenaran dari Syarikat Penerbangan sebelum membeli tiket atau membuat sebarang aturan untuk pulang ke Malaysia.

Bantuan Kewangan

Sekiranya bantuan kewangan dapat disalurkan oleh waris/individu/dll dari Malaysia melalui Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri, ia dapat dipindahkan dengan segera ke akaun Kedutaan untuk membolehkan Kedutaan menghulurkan bantuan dan melaksanakan operasi bantuan dengan kadar segera dan lebih lancar.

Kedutaan tidak diperuntukkan oleh kerajaan atau mana-mana entiti satu dana atau tabung khas bagi kegunaan kes-kes kecemasan rakyat Malaysia di luar negeri. Apa yang boleh diusahakan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sesuatu kes berlaku, ialah kutipan derma kilat di kalangan pegawai dan staf di Kedutaan, dan juga daripada rakyat dan pelajar Malaysia di Turki serta tokoh VIP yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban individu/waris untuk belanja harian dan sebagainya.

Bergantung kepada sesuatu kes juga, selepas keadaan bertambah baik/terkawal, Kedutaan biasanya, dengan persetujuan individu/waris akan menyarankan agar dipindahkan ke Ankara untuk koordinasi yang lebih baik dan membolehkan urusan dokumentasi dapat diselesaikan dengan lebih lancar. Untuk tempoh sehingga dibolehkan pulang ke Malaysia, individu/waris akan ditawarkan untuk menetap di rumah pegawai/staf Kedutaan (sekiranya sudi).

Tanggungjawab dan Komitmen Lain Kedutaan

Kedutaan juga dalam masa yang sama adalah terikat dengan tanggungjawab dan komitmen lain dalam urusan sehari-hari di Ankara. Seperti dalam sesebuah organisasi lain, Kedutaan juga berdepan dengan situasi-situasi normal di mana pegawai bercuti, sakit, staf berhenti kerja, isu peruntukan dan lain-lain yang menyebabkan sesetengah urusan, termasuk kecemasan rakyat Malaysia perlu ditangani dengan efisyen dengan mengoptimumkan sumber yang sedia ada.

Sehubungan itu, mana mungkin Kedutaan dapat bertindak bersendirian dalam memberikan bantuan dan mengendalikan pelbagai kes konsular di Turki. Namun, Alhamdulillah, pelbagai kes dan isu dapat diselesaikan bersama melalui kerjasama yang rapat dan perkongsian maklumat di antara Kedutaan; rakyat Malaysia yang bermastautin di Turki, antaranya menerusi ahli Malaysian Diaspora in Istanbul (MDI); pelajar-pelajar Malaysia menerusi Malaysia Students Association in Turkey (MASAT); serta individu-individu prihatin seperti Puan @Noreen Kartal yang dimaklumkan sudi menawarkan rumah beliau untuk dijadikan tempat persinggahan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang bermasalah atau dalam situasi kecemasan apabila berada di Turki.

Semangat gotong royong dan bantu-membantu seperti inilah yang menjadikan kita Malaysia. Kedutaan mengucapkan terima kasih di atas semua bantuan yang telah diberikan selama ini. Dengan sokongan, keperihatinan terutamanya daripada individu dan kumpulan di atas, Kedutaan akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan yang terbaik kepada semua rakyat kita yang dalam kesulitan.

Dengan fokus diberikan kepada perkara yang positif dan usaha yang digembleng bersama, Kedutaan yakin dapat memberikan usaha dan bantuan sebaiknya kapada rakyat Malaysia yang memerlukan.

Kedutaan Besar Malaysia
Republik Turki
Ankara

Sisipan : Klip Video Kementerian Luar Negeri

About emarieys

Ema has written 1335 post in emarieys.com.

Malaysian blogger and author of a blog about career, parenting, lifestyle, and review.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *