Selamat Menyambut Maulidur Rasul
Seperti yang kita ketahui, Imam besar mazhab kita, Al-Imam As-Syafe‘i telah menggariskan bahawa selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian daripada rukun solat. Dalam ertikata lain, ibadah yang terutama dalam hidup kita selepas kita menjadi seorang muslim dengan mengucapkan kalimah tayyibah – la ilaha illAllah, tidak akan sah melainkan dengan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Bahkan adalah sepakat ulama bahawa membaca selawat adalah satu amalan sunat yang sangat-sangat dicintai (mustahab).Seperti yang disebutkan terdahulu firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab : 56)
Ayat ini menjadi dalil bahawa berselawat itu adalah tuntutan dan sangat mustahab pada setiap masa dan ketika. Bahkan, tuntutan yang dinyatakan meminta kepada selawat dan salam yang sempurna dan sebaik-baiknya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah boleh dibaca selawat selepas solat memandangkan tiada dalil-dalil yang khusus mengenainya. Jawapannya, kesepakatan ulama pada membacanya dalam solat dan sunat lagi mustahab membacanya pada bila-bila masa, menjadi dalil bahawa sudah tentulah ia juga boleh dibaca selepas solat. Seterusnya, sudah disepakati bahawa adalah sunat dan mustahab untuk sekelian umat Islam berdoa selepas solat, sedangkan tidaklah sempurna berdoa itu melainkan dengan berselawat dan salam ke atas Nabi SAW.
Seperti yang disebutkan terdahulu lagi, sabda Rasulullah SAW, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi (Nabi Muhammad SAW).” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Seterusnya, sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad SAW) melainkan penyesalan akan menimpa mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, hadis Hasan Sahih; dan riwayat Ahmad)
Sebagaimana yang diterangkan mengikut dalil-dalil ayat dan hadis, bahawa selawat kepada Rasulullah SAW adalah merupakan satu ibadah yang mulia dan amalan yang terpuji. Oleh itu marilah kita bersama-sama cuba istiqamah berselawat ke atas Rasulullah SAW setiap waktu dan ketika yang terluang dengan penuh keimanan dan keikhlasan, kerana ianya mempunyai keutamaan dan fadhilat yang amat besar, insya Allah.
Semoga kita semua beroleh berkat, rahmat dan syafaat dalam mengamalkannya. Amiin.
source : FB