Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia atau MCO telah mengubah banyak aspek dalam kehidupan kita. Di seluruh dunia, tindak balas terhadap Covid-19 telah menyebabkan perubahan gaya hidup dalam beberapa aspek.
Untuk sementara waktu, semua restoran di Malaysia ditutup untuk makan malam, menyebabkan orang ramai mula memasak di rumah lebih banyak berbanding dulu. Juga, banyak yang menggunakan khidmat penghataran bagi menghantar barang keperluan mereka untuk mengelakkan orang ramai di pasar raya.
Sejak itu, dari masa ke semasa servis grocery delivery ini mula diterima pakai untuk kegunaan seharian untuk mereka yang sibuk dengan kerja dan sebagainya. Antara kedai-kedai yang menyediakan servis pesanan dan penghantaran barangan runcit atas talian ini adalah seperti yang di bawah.
1. HappyFresh
HappyFresh sudah agak lama ada di Malaysia. HappyFresh seperti pembeli peribadi yang akan bantu pelanggan dari senarai lokasi yang disediakan. Pelanggan boleh memilih dari senarai pasar raya dan kedai khusus di sekitar kediaman. Antara kedai yang tersedia di dalam senarai HappyFresh adalah Sam’s Garcia, Aeon, Tesco, Giant dan banyak lagi.
Caj penghantaran bergantung pada jarak pelanggan dari kedai yang di pilih, bermula dari RM3 dan ke atas.
2. Tesco Groceries
Tesco adalah salah satu pasar raya pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penghantaran dalam talian. Mereka mempunyai cara yang sangat sistematik untuk mengatur masa penghantaran pelanggan.
Tesco Groceries membenarkan pesanan hingga tiga minggu lebih awal. Dengan Tesco, pelanggan mesti bertindak pantas kerana slotnya diambil dengan cepat dan ada di antara pelanggan yang tidak dapat menerima penghantaran pada hari berikutnya atau bahkan penghantaran dalam minggu yang sama untuk beberapa cawangan. Caj penghantarannya pula bergantung pada slot penghantaran, maksimum sehingga RM10.
3. Redtick
Redtick adalah perkhidmatan penghantaran yang ada di kawasan Lembah Klang tengah, termasuk Ampang, Subang, Petaling Jaya dan Seri Kembangan. Namun, tidak semua lokasi di kawasan ini boleh menggunakan perkhidmatan grocery delivery dari Redtick.
Cara terbaik, pelanggan perlu periksa terlebih dahulu di laman web mereka akan lokasi kawasan yang ada di dalam senarai.
Selain barang makanan kering dan segar, mereka juga menjual barangan bayi dan kanak-kanak, barang keperluan pejabat dan alat tulis. Di Redtick, barangan mereka adalah hasil segar langsung dari petani dan pengusaha tempatan.
Caj penghantaran bermula dari RM10 atau RM15 bergantung pada slot waktu, dan percuma untuk pembelian bernilai lebih dari RM150.
4. Mydin Online
Mydin ada di banyak lokasi. Pasaraya Mydin ini sudah lama bertapak di Malaysia dan menawarkan banyak barangan untuk di beli dengan kadar harga yang memuaskan. Pasar raya tempatan Mydin ini turut menawarkan servis penghantaran dalam talian juga.
Walaupun sistem dalam talian mereka masih banyak perlu diperbaiki untuk setanding dengan pesaing yang lain, tetapi Mydin tetap boleh dianggap sebagai salah satu pilihan terbaik untuk servis pembelian barangan runcit secara dalam talian ini. Mydin juga menawarkan banyak pilihan pembelian pukal jika anda ingin membeli makanan dan barangan kering.
5. Potboy Groceries
Potboy adalah pembekal barangan runcit dalam talian di seluruh Malaysia yang beroperasi dalam talian sepenuhnya dengan gudang kepunyaan mereka sendiri. Melalui Potboy ini, pelanggan boleh membeli hampir semua barangan keperluan harian seperti beras, minyak, bahan kering, makanan sejuk beku, makanan dalam tin dan lain-lain.
Satu-satunya perkara yang mereka tidak ada ialah makanan segar seperti sayur-sayuran, makanan laut dan daging.
6. Organic4u
Sekiranya anda pengemar makanan organik dan suka untuk kekalkan gaya pemakanan sihat, Organic4u adalah salah satu pilihan yang baik. Organic4u ini menawarkan servis pesanan dan penghantaran untuk sayur-sayuran segar di seluruh Lembah Klang. Mereka juga turut mempunyai stok susu, bahan kering, ayam, bijirin, biskut, minyak masak dan banyak lagi. Tak lupa juga produk kesihatan.
7. Pandamart
Pernah dengar nama Pandamart? Tak pernah? Jika tak pernah dengar nama Pandamart tak mengapa kerana anda pasti pernah dengar nama Foodpanda.
Pandamart adalah nama untuk servis pesanan dan penghantaran barangan runcit dalam talian yang dimiliki oleh Foodpanda. Sebagaimana pelanggan boleh pesan makanan untuk rider Foodpanda hantar sehingga ke depan pintu rumah, begitu jugalah dengan Pandamart.
Jika Foodpanda pelanggan boleh guna untuk buat pesanan makanan yang pelbagai, Pandamart ini boleh digunakan untuk buat pesanan barang keperluan harian seperti barang makanan kering, susu formula anak, lampin pakai buang bayi, produk penjagaan diri, ubat-ubatan asas dan banyak lagi.
Itulah dia senarai 7 kedai barangan runcit online terbaik di Malaysia untuk tahun 2021. Semoga servis ke semua pihak ini akan terus di paras yang baik dan semoga virus yang melanda satu dunia ini akan berkurangan dan berakhir.
Ai tak reti beli barangan runcit secara online. Lebih selesa walk in.
Cuba Jom Dapur, apps baru yang dibanhgunkan oleh 100% anak tempatan. Delivery dalam masa 3jam sahaja. charge delivery RM9.00 sahaja….belilah 3 – 4 kampit beras 10kilo pun cas delivery tetap sama..boleh search di play store dan app store.